04 September 2009

Sejarah Penubuhan


Maktab Rendah Sains MARA Yayasan Terengganu (MRSM YT) dikendalikan secara usahasama antara Yayasan Terengganu dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Penubuhannya merupakan aspirasi Kerajaan Negeri bagi menampung keperluan pendidikan yang lebih berkualiti bagi lulusan UPSR yang terdiri dari anak-anak Terengganu yang tidak mendapat tempat di sekolah-sekolah berasrama penuh. Hasrat penubuhan ini telah dipersetujui Lembaga Pemegang - Pemegang Amanah Yayasan Terengganu dalam mesyuarat kali ke-70 yang telah diadakan pada 20 Disember 1992. Justeru itu, bagi merialisasikan hasrat tersebut, satu Memorandum Persefahaman di antara Yayasan Terengganu dengan Majlis Amanah Rakyat telah ditandatangani pada 3 Jun 1993. Dua buah MRSM YT telah ditubuhkan iaitu di Besut dan Dungun. Kedua - duanya telah memulakan operasinya dengan pengambilan pertama pelajarnya pada Januari dan Mac 1995.



Aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri mula membuahkan hasil sulungnya apabila keputusan Peperiksaan Menengah Rendah 1996, MRSM YT Besut berjaya memperolehi kelulusan 100% dan mendapat tempat ke dua terbaik bagi pencapaian Maktab Rendah Sains MARA di seluruh Malaysia. Pelbagai kejayaan diraih dari setahun ke setahun antaranya MRSM YT Besut telah muncul sebagai Maktab terbaik dalam keputusan PMR di antara MRSM seluruh negara pada tahun 1997 dengan 105 orang pelajar mendapat 8A. Di dalam aktiviti kokurikulum pula, MRSM YT Besut telah menjadi johan keseluruhan Minggu Kokurikulum MRSM SeMalaysia Peringkat Menengah Rendah pada tahun 1998.


MRSM YT Besut juga pernah menyertai pameran Tunas Saintis Peringkat MRSM SeMalaysia di MRSM Beseri pada tahun 2000. Pameran tersebut merupakan aktiviti tahunan MRSM untuk mencungkil bakat dan kreativiti pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Di dalam bidang sukan, MRSM YT Besut pernah mewakili Daerah Besut ke Peringkat Negeri Terengganu dalam pertandingan Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Terengganu ke 28 tahun 1997, Kejohanan Badminton Peringkat MSST anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu. Kini, kecemerlangan diulangi kembali dengan pembukaan semula MRSM YT Besut selepas setahun tidak beroperasi.

No comments: